Saturday, August 14, 2010

Refleksi Minggu Ke-5

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....alhamdulilah kerana kuliah muzik tradisional telah sampai minggu ke-5 dan pembelajaran minggu ini iaitu Gamelan dan Cak lempong mendedahkan kepada saya satu lagi muzik tradisional yang saya tidak ketahui. Gamelan dan cak lempong amat asing bagi saya sebelum ini dan dengan ilmu yang diajar oleh En.Amran mengenai muzik gamelan ia sedikit sebanyak membuka minda saya mengenai muzik tradisional tersebut.

Seperti yang selalu ditekankan oleh En. Amran, jika kita tidak tahu asal usul muzik tersebut jangan mudah membuat andaian bahawa muzik tersebut milik kita. Seperti muzik-muzik tradisional lain, muzik gamelan dan cak lempong juga mempunyai sejarah asal usulnya yang tersendiri. Muzik gamelan dipercayai berasal dari Indonesia dan gamelan dimainkan secara berkumpulan. Antara alat muzik dalam gamelan ialah Gong dan ia merupakan antara alat muzik terawal dalam gamelan. Gong juga merupakan antara alat terpenting dalam awal tamadun Melayu yang digunakan bagi memulakan sesuatu upacara atau keraian.

Di Malaysia, muzik gamelan yang popular ialah gamelan Terengganu atau lebih dikenali sebagai joget gamelan. Muzik gamelan ini berpindah ke Terengganu kerana meraikan perkahwinan Sultan Sulaiman dari Terengganu dengan Tengku Mariam dari Pahang. Sejak dari itu muzik gamelan terus popular di Tanah Melayu dan ia berbeza dari segi penciptaan lagu, sistem tuning, instrumentasi dan melodi dengan gamelan Jawa. Gamelan Jawa berasal dari Jawa Tengah dan ia dibawa oleh orang-orang Jawa ketika penjajahan orang-orang Eropah. Muzik gamelan ini biasanya dimainkan ketika majlis berkhatan dan perkahwinan. Muzik gamelan jawa ini dimainkan oleh rakyat dan ia bukan terhad kepada muzik di istana semata-mata. Alat muzik dalam gamelan jawa lebih banyak dari muzik gamelan Terengganu dan ia mengandungi 9 alat iaitu gendang (ketipung, jiblon, bem), keromong atau bonang, demung, saron barung, saron penerus atau pekin, gambang, kenong, kempol dan gong. Terdapat sedikit perbezaan dari segi muzik antara muzik gamelan Terengganu dan muzik gamelan Jawa. Tekstur muzik gamelan ini berbentuk polifoni dan ciri utama muzik gamelan ini adalah dimana muziknya yang berulang. Hal ini saya dapat lihat dengan melihat persembahan muzik-muzik gamelan ini yang berulang-ulang.

Muzik kedua yang dipelajari pada minggu ke-5 ialah muzik cak lempong dan ia juga dikenali sebagai telempong dan tak lempong talempong. Di Malaysia muzik cak lempong terdapat didaerah Lenggeng, Kuala pilah dan Jelebu di negeri Sembilan. Muzik cak lempong ini dikatakan berasal dari Minangkabau dan penghijrahan orang-orang Minangkabau ini ke Tanah Melayu membawa bersama muzik cak lempong. Muzik cak lempong ini dipersembahkan ketika majlis perkahwinan dan majlis keramaian. Alat muzik dalam cak lempong ialah bonang,gereteh, tingkah, sauwa atau saua, gendang ibu dan anak, bangsi dan serunai.

Pembelajaran muzik minggu ke-5 menambahkan input saya mengenai muzik tradisional dan diharapkan muzik tradisional gamelan dan cak lempong terus mendapat tempat dihati pemuzik.

0 comments:

Post a Comment

 

BLOG PELAJAR KUMP C

BLOG PELAJAR KUMP B

BLOG PELAJAR KUMP A

smp2252noor Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template