Saturday, August 28, 2010

Refleksi Minggu Ke-7

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....
Alhamdulilah kerana pada hari isnin yang lepas, dua kumpulan telah pun mempersembahkan hasil pembentangan masing-masing. Pembentangan kumpulan pertama mengenai Sejarah Muzik Tradisional telah mendedahkan saya kepada pelbagai input sejarah mengenai kedatangan muzik di nusantara dan Tanah Melayu khususnya. Muzik yang terdapat di negara kita pada hari ini banyak datangnya dari pelbagai negara luar seperti Barat, Arab, Cina, India, Indonesia dan kepulauan rantau Asia Tengaara. Malahan unsur-unsur muzik tersebut masih lagi dipengaruhi oleh negara asal tersebut seperti muzik wayang kulit yang masih mempunyai unsur tradisi India. Penjajahan Barat juga menyerap masuk budaya muzik mereka ke Tanah Melayu dan ia boleh dilihat sehingga kini.

Pembentangan kumpulan ini juga mendedahkan saya kepada penemuan alat muzik pertama. Walaupun terdapat beberapa teori dan kajian, namun dipercayai bahawa alatan muzik pertama yang dicipta oleh manusia ialah seruling. Ini menjelaskan bahawa manusia pada zaman awal juga telah mula meminati muzik.

Secara menyeluruh pembentangan kumpulan pertama ini berjaya menyelusuri sejarah muzik tradisional dan bagaimana ia tersebar ke Tanah Melayu sehingga muzik ini digunapakai oleh masyarakat kita sehingga hari ini.


Pembentangan ke-2, Zikir


Pembentangan kumpulan 2, mengenai zikir juga telah memberi pengalaman dan pendedahan baru kepada saya. Kumpulan ini berjaya memberi penerangan yang jelas, padat dan menarik mengenai zikir. Saya juga begitu teruja apabila melihat cara zikir dialunkan oleh sesetengah negara, seperti yang ditunjukkan oleh kumpulan pembentang cara zikir dialunkan di India. Sebelum ini saya mengetahui sedikit sebanyak mengenai zikir dan ia lazimnya dialunkan untuk majlis-majlis keagamaan. Alatan muzik yang digunakan juga tidak banyak.

Zikir dikatakan berasal daripada Timur Tengah. Zikir, walaupun dialunkan tanpa alatan muzik namun ia amat sedap didengar. Dengan penerangan yang padat selain Video yang ditunjukkan, objektif kumpulan 2 ini tercapai dalam menerangkan mengenai muzik zikir ini.

Kesimpulanya, kedua-dua kumpulan berjaya memberi penerangan yang jelas dan saya memahami sepenuhnya apa yang disampaikan oleh kumpulan-kumpulan pembentang.
Teruskan Membaca...

Friday, August 20, 2010

Refleksi Minggu Ke-6




Gambar Menunjukkan kompang.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....
Alhamdulilah kerana muzik tradisional telah masuk minggu ke-6 dan pembelajaran makyung serta kompang telah mendedahkan saya dengan dua lagi muzik tradisi yang ada di negara kita Malaysia. Makyung merupakan satu muzik dramatari yang terdiri daripada menora, mekmulung dan jikey. berbeza dengan wayang kulit, watak dalam makyung dimainkan oleh manusia atau orang manakala wayang kulit watak dimainkan oleh patung. Muzik makyung menceritakan mengenai kisah raja-raja dan ia dikatakan berasal dari Patani dan ia telah tersebar luas di Malaysia serta kepulauan Riau Lingga di Indonesia. Muzik makyung dipersembahkan sebagai persembahan dan juga untuk tujuan ritual. Pada zaman dahulu makyung dipersembahkan bertujuan untuk menyembuhkan penyakit melalui main puteri. Saya biasa melihat main puteri ini ketika di kampung, yang mana golongan tua lebih suka untuk Main Puteri bagi menyembuhkan penyakit berbanding ke hospital. Namun ada juga permainan makyung ini dilakukan untuk tujuan persembahan dan balai dibina beberapa kaki dari aras tanah manakala pemuzik dan pemain makyung akan duduk diatasnya secara berkeliling atau 'theater in the round'.Terdapat banyka kisah dalam penceritaan makyung dan cerita asal makyung adalah berkenaan dewa muda(cerita rakyat). Terdapat 11 buah cerita dan 30 buah lagu repertoire. Watak utama dalam penceritaan makyung ialah pakyung dan pakyung muda. watak-watak lain ialah makyung dan puteri makyung, peran tua dan peran muda serta tok wak. Terdapat 3 lagu dalam makyung iaitu mengadap rebab, kijang mas dan lagu sindung. Alat muzik dalam muzik makyung ialah sepasang gendang, sepasang tetawak dan sepasang rebab 3 tali, manakala alat muzik tambahan pula ialah serunai, geduk dan canai. Irama dalam muzik makyung menggunakan 4 timbre iaitu pak, duh, cak, ting. hampir semua lagu makyung bertempo agak perlahan.

Muzik kedua yang dipelajari pada minggu ke-6 ialah kompang. Pembelajaran kompang pada minggu tersebut amat menarik kerana saya dan rakan-rakan sekelas berpeluang untuk berkompang dengan tunjuk ajar En. Amran serta pelajar-pelajar major Muzik. Jika sebelum ini saya hanya menganggap kompang hanya dipersembahkan secara statik dan hanya untuk tujuan perkahwinan, namun dengan input yang saya terima daripada kuliah minggu ke-6 baru saya sedar bahawa muzik kampung boleh dipelbagikan gaya dan cara permainannya. Ini amat menarik sekali. Muzik kompang dikatakan berasal dari Arab dan ia dikenali sebagai dufuf, daff, duff, tar atau bendir. Manakala di Indonesia kompang digelar sebagai rebana atau terbang. Sejarah Kompang di Malaysia dikatakan dibawa oleh pedagang Arab pada kurun ke-13 masihi. Fungsi kompang dalam masyarakat Melayu ialah sebagai meraikan majlis perkahwinan, majlis keraian islam, Maulidulrasul dan berkhatan. Namun dengan peredaran zaman, penggunaan kompang telah dipelbagaikan seperti menyambut ketibaan pemimpim dan ia juga digunakan dalam majlis-majlis rasmi.

Dalam permainan kompang terdapat adat yang perlu dipatuhi seperti pakaian (mesti seragam), tidak boleh melentangkan kompang, tidak boleh melambung kompang dan tidak boleh meletakkan arah muka kulit kompang ke lantai. Kulit kompang diperbuat daripada kulit kambing betina manakala belulang baluh pula diperbuat daripada kayu nangka. Jenis-jenis permaianan muzik kompang adalah kompang hadrah yang terdapat di negeri Perak, kompang Johor atau Jawa, kompang Eizhar (negeri Selangor) dan kompang kelalang yang terdapat di negeri Melaka. Satu yang agak menarik ialah kompang boleh didapati mengikut saiz umur iaitu saiz 30cm untuk yang berumur 12 tahun dan ke bawah, 32.5cm bagi yang berumur 13 dan 14 tahun, 35 cm bagi yang berumur 15 dan 16 tahun, 37.5cm dan 40cm pula bagi orang dewasa. Terdapat teknik tetentu bagi bermain kompang iaitu kompang hendaklah dipegang dengan tangan sebelah kanan, manakala sebelah tangan lagi memukulnya. Bunyi kompang pada asanya ada dua iaitu bunyi pak dan bunyi bung, bunyi bung lebih besar daripada bunyi pak.

Setelah mempelajari kedua-dua muzik ini saya merasakan bahawa muzik tradisional seperti kompang jika digiatkan permainannya ia dapat mengelakkan masalah lepak dikalangan remaja iaitu dengan mengadakan kelas-kelas permainan kompang samaada di sekolah, kawasan penempatan atau mana-mana tempat yang sesuai. Hal ini kerana muzik kompang amat menarik dan fleksibel serta mudah dimainkan. Justeru bagi mengangkat muzik tradisional ini wajar kita sama-sama bersatu bagi mengekalkannya.
sekian terima kasih. Jumpa lagi. Wasalam.
Teruskan Membaca...

Saturday, August 14, 2010

Refleksi Minggu Ke-5

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....alhamdulilah kerana kuliah muzik tradisional telah sampai minggu ke-5 dan pembelajaran minggu ini iaitu Gamelan dan Cak lempong mendedahkan kepada saya satu lagi muzik tradisional yang saya tidak ketahui. Gamelan dan cak lempong amat asing bagi saya sebelum ini dan dengan ilmu yang diajar oleh En.Amran mengenai muzik gamelan ia sedikit sebanyak membuka minda saya mengenai muzik tradisional tersebut.

Seperti yang selalu ditekankan oleh En. Amran, jika kita tidak tahu asal usul muzik tersebut jangan mudah membuat andaian bahawa muzik tersebut milik kita. Seperti muzik-muzik tradisional lain, muzik gamelan dan cak lempong juga mempunyai sejarah asal usulnya yang tersendiri. Muzik gamelan dipercayai berasal dari Indonesia dan gamelan dimainkan secara berkumpulan. Antara alat muzik dalam gamelan ialah Gong dan ia merupakan antara alat muzik terawal dalam gamelan. Gong juga merupakan antara alat terpenting dalam awal tamadun Melayu yang digunakan bagi memulakan sesuatu upacara atau keraian.

Di Malaysia, muzik gamelan yang popular ialah gamelan Terengganu atau lebih dikenali sebagai joget gamelan. Muzik gamelan ini berpindah ke Terengganu kerana meraikan perkahwinan Sultan Sulaiman dari Terengganu dengan Tengku Mariam dari Pahang. Sejak dari itu muzik gamelan terus popular di Tanah Melayu dan ia berbeza dari segi penciptaan lagu, sistem tuning, instrumentasi dan melodi dengan gamelan Jawa. Gamelan Jawa berasal dari Jawa Tengah dan ia dibawa oleh orang-orang Jawa ketika penjajahan orang-orang Eropah. Muzik gamelan ini biasanya dimainkan ketika majlis berkhatan dan perkahwinan. Muzik gamelan jawa ini dimainkan oleh rakyat dan ia bukan terhad kepada muzik di istana semata-mata. Alat muzik dalam gamelan jawa lebih banyak dari muzik gamelan Terengganu dan ia mengandungi 9 alat iaitu gendang (ketipung, jiblon, bem), keromong atau bonang, demung, saron barung, saron penerus atau pekin, gambang, kenong, kempol dan gong. Terdapat sedikit perbezaan dari segi muzik antara muzik gamelan Terengganu dan muzik gamelan Jawa. Tekstur muzik gamelan ini berbentuk polifoni dan ciri utama muzik gamelan ini adalah dimana muziknya yang berulang. Hal ini saya dapat lihat dengan melihat persembahan muzik-muzik gamelan ini yang berulang-ulang.

Muzik kedua yang dipelajari pada minggu ke-5 ialah muzik cak lempong dan ia juga dikenali sebagai telempong dan tak lempong talempong. Di Malaysia muzik cak lempong terdapat didaerah Lenggeng, Kuala pilah dan Jelebu di negeri Sembilan. Muzik cak lempong ini dikatakan berasal dari Minangkabau dan penghijrahan orang-orang Minangkabau ini ke Tanah Melayu membawa bersama muzik cak lempong. Muzik cak lempong ini dipersembahkan ketika majlis perkahwinan dan majlis keramaian. Alat muzik dalam cak lempong ialah bonang,gereteh, tingkah, sauwa atau saua, gendang ibu dan anak, bangsi dan serunai.

Pembelajaran muzik minggu ke-5 menambahkan input saya mengenai muzik tradisional dan diharapkan muzik tradisional gamelan dan cak lempong terus mendapat tempat dihati pemuzik.
Teruskan Membaca...

Saturday, August 7, 2010

Refleksi Minggu Ke-4

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulilah kerana saya berkesempatan sekali lagi untuk mengikuti kelas muzik tradisional bagi minggu ke-4 dan tajuk yang telah disampaikan oleh En. Amran saya rasa amat dekat dengan negeri kelahiran saya Kelantan iaitu wayang kulit. Selain dikir barat yang begitu sinonim dengan rakyat kelantan, wayang kulit juga merupakan salah satu seni yang popular dan kerap dipersembahkan sebagai hiburan dikalangan rakyat di negeri Kelantan. Namun ikhlas saya katakan bahawa, walaupun saya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang, seni Wayang kulit ini amat jarang saya tonton dan sejarah perkembangan muzik ini juga saya tidak ketahui. Setelah mendengar kuliah yang disampaikan oleh en. Amran pada minggu ke-4 yang lalu, baru saya ketahui bahawa seni muzik wayang kulit ini bukan berasal dari kelantan dan ia merupakan seni muzik yang tersebar dari India menurut beberapa sarjana dan ada juga yang mengatakan ia dari Cina. Wayang Kulit digelar sebagai teater kerana ia mempunyai jalan cerita yang tertentu dan lazimnya orang yang mengemudi cerita digelar sebagai Tok dalang dan tok dalang ini mesti mahir dalam agama kerana dalam penceritaannya akan terselit unsur nasihat.

Sebelum ini saya merasakan muzik wayang kulit hanya ada di kelantan namun tanggapan saya meleset kerana muzik wayang kulit juga ada di jawa. Secara umumnya terdapat 4 muzik wayang kulit iaitu wayang kulit kelantan, wayang kulit jawa, wayang kulit gedek dan wayang kulit melayu. Dan itulah yang sering ditekankan oleh en. Amran dalam setiap kuliah beliau bahawa kita mesti mempelajari sejarah muzik tersebut sebelum kita menilainya sebagai hak kita kerana sejarah muzik tradisional di nusantara ini tersebar di merata tempat dan ia ada di mana-mana cuma mungkin berbeza sedikit dari segi alat muzik dan penyampaian. Daripada keempat-empat muzik wayang kulit tersebut ia mempunyai perbezaan diantara satu sama lain dari segi patung dan mungkin ada sedikit penambahan dari segi permainan alat muzik. Alat muzik di kelantan misalnya banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur dari Patani dan menggunakan bahasa atau dialek kelantan dalam penceritaanya.

Alat-alat muzik yang dimainkan dalam setiap wayang kulit juga berbeza. Jika wayang kulit jawa ia ada bunyi gemelan dan jika wayang kulit di Malaysia ia tiada. Begitu juga dengan patung, wayang kulit jawa mempunyai dua tangan yang bergerak manakala wayang kulit Di malaysia hanya datu tangan. Wayang Kulit gedek merupakan wayang kulit yang ada pengaruh daripada siam dan ia berbeza daripada wayang kulit kelantan. hal ini kerana patung wayang kulit tersebut mempunyai unsur siam dan dioalog yang digunakan juga merupakan loghat siam.

Kesimpulanya muzik wayang kulit juga berada di dalam kelasnya yang tersendiri dan ia antara muzik yang popular pada masa lalu dan amat rugi jika generasi kini akan datang tidak menghargai khazanah muzik warisan nenek moyang ini hanya kerana taksub kepada muzik barat. Justeru sama-samalah kita hargai muzik warisan kita.


Teruskan Membaca...
 

BLOG PELAJAR KUMP C

BLOG PELAJAR KUMP B

BLOG PELAJAR KUMP A

smp2252noor Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template