Saturday, October 30, 2010

Refleksi Minggu Ke-14

Assalamualaikum dan salam sejahtera....
Alhamdulilah kerana kuliah bagi SMP2252 telah pun berakhir, jutaan terima kasih kepada pensyarah pembimbing iaitu En Amran Aris dengan ilmu dan tunjuk ajar yang telah dicurahkan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan sekumpulan iaitu Siti Rohaya dan Azamwati dengan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam menyiapkan tugasan yang diamanahkan. Ucapan terima kasih juga kepada rakan-rakan sekelas SMP2252 berjadual hari isnin yang banyak membantu dari segi teknikal.

Sepanjang mengikuti kuliah bagi muzik tradisional ini pelbagai input yang diperolehi oleh saya, walaupun pada awal kuliah iaitu bagi minggu pertama, kedua dan ketiga saya langsung tidak memahami tentang muzik kerana latar belakang pembelajaran saya ialah Pengajian Malaysia. Namun saya bersyukur kerana En Amran memahami masalah yang dihadapi oleh saya serta rakan dan mengajar berdasarkan pemahaman umum. Ini adalah satu pembelajaran yang adil bagi saya kerana ia mengambil kira keperluan semua pihak dan seterusnya menjadikan kelas SMP2252 lebih menarik dan menepati citarsa semua.

Pada awal kuliah kami telah didedahkan dengan Blog, dan semua pelajar diwajibkan membuat blog bagi urusan kerja kursus. Jujurnya pada awal kuliah saya merasakan dengan membuat blog ia membebankan saya kerana ia sukar. Hal ini kerana saya telah biasa membuat kerja kursus secara manual, justeru saya merasakan membuat blog individu dan kumpulan adalah membebankan. Namun tanggapan saya tentang blog berubah selepas saya mula sedikit mahir tentang blog selepas membuat kerja kursus berkumpulan. Perkara yang paling menguntungkan dengan membuat blog ialah ia menjimatkan wang dan masa. Hal ini kerana kerja kursus yang dibuat hanya perlu di hantar secara online dan pelajar tidak perlu menghantarnya secara "hard copy". Kelebihan lain ia ialah saya dapat berkongsi maklumat dengan rakan-rakan yang lain melalui blog dan kami boleh berbincang mengenai tugasan masing-masing. Ia benar-benar menjimatkan kos.

Pembelajaran muzik tradisional ini juga telah membuka mata saya tentang pentingnya menjaga warisan sejarah muzik agar ia tidak pupus ditelan zaman. Jika sebelum ini kesedaran saya tentang muzik langsung tiada, namun setelah mengikuti sesi pembelajaran SMP2252 ini saya merasakan tingkat kesedaran saya terhadap muzik tradisional bercambah. Nilai estetika dalam muzik tradisional sukar dicari ganti, berbanding muzik moden, muzik tradisional lahir dengan sejarah dan cerita yang tersendiri. Ia amat unik dan menarik untuk dipelajari.

Pembelajaran muzik tradisional yang disampaikan oleh En Amran Aris mencapai objektifnya. Kuliah yang disampaikan oleh beliau tentang muzik tradisional mudah untuk difahami dan tidak berbelit-belit. Ia ringkas tetapi padat. Walaupun pada awal-awal pembelajaran, saya mengalami sedikit masalah untuk memahami secara menyeluruh apa yang dikatakan dengan muzik tradisional, namun ia dapat diatasi pada minggu-minggu berikutnya.

Secara kesimpulanya, muzik tradisional bukanlah muzik yang ketinggalan zaman atau muzik orang tua, tetapi muzik ini adalah muzik warisan yang perlu dijaga dan diwarisi. Terima kasih sekali lagi kepada pensyarah SMP2252 iaitu En Amran dan rakan-rakan sekelas yang banyak membantu saya sepanjang sesi pembelajaran muzik tradisional. Semoga muzik tradisonal terus berkembang dan diminati.
Sekian Terima Kasih.
Teruskan Membaca...

Sunday, October 17, 2010

Refleksi Minggu Ke-12

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....
Pembentangan minggu ke-12 melibatkan pembentang yang membentangkan tajuk Opera Cina dan Po Te Hi serta Muzik di Sabah dan Sarawak. Minggu ini merupakan minggu terakhir pembentangan melibatkan pelajar-pelajar yang berjadual hari isnin. Pembentang pertama membentangkan tajuk Opera Cina dan Po Te Hi. Banyak input baru berkenaan muzik dan tarian dipelajari daripada tajuk yang dibentangkan. Namun sayang sekali menurut pembentang bahawa muzik dan tarian ini tidak begitu berkembang di Malaysia. Hal ini mungkin tiada pakar yang betul-betul arif dalam muzik ini untuk dikembangkan kepada generasi kini. Muzik opera cina terkenal dengan tarian, kostum dan Vokal yang lain daripada muzik-muzik yang ada di Malaysia. Vokal yang dipersembahkan dalam Muzik Opera cina nyaring dan rentaknya mengikut muzik yang dimainkan. Kumpulan pembentang berjaya mengupas mengenai tajuk opera cina ini, namun sayang sekali bahan yang dipersembahkan tidak cukup lantaran kekurangan sumber rujukan. Selain muzik opera Cina kumpulan pembentang pertama juga mengupas mengenai muzik Po Te Hi. Muzik Po Te Hi lebih kepada upacara keagamaan bagi masyarakat Buddha. Namun kumpulan pembentang hanya menyediakan sumber-sumber mengenai muzik ini dari internet lantaran kekurangan sumber yang boleh dirujuk. Hampir tidak ada penggiat muzik jenis ini di Malaysia. Walaubagaimanapun dengan apa yang telah diterangkan oleh pembentang mengenai kedua-dua muzik ini, input yang ingin disampaikan jelas dan semua soalan yang dikemukakan kepada pembentang dapat dijawab dengan baik.

Kumpulan kedua yang membentang ialah mengenai muzik di Sabah dan Sarawak. Muzik di sabah dan sarawak amat banyak sekali dan ia mengikut suku etnik masing-masing. Apa yang dapat disimpulkan mengenai muzik di sabah dan sarawak ialah ia amat bercirikan etnik sama ada dari segi kostum, alat muzik serta tarian. Walaupun tidak banyak input yang diterangkan oleh kumpulan pembentang namun pembentangan mengenai tajuk ini sedikit sebanyak dapat dikongsi bersama rakan-rakan sekelas. Semoga muzik tradisional di Malaysia terus mendapat tempat di hati generasi masa kini dan juga masa depan
Sekian Terima Kasih.
Teruskan Membaca...

Sunday, October 10, 2010

Refleksi Minggu Ke-11

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....pada kuliah minggu ke-11 yang lalu kumpulan saya telah membentangkan tajuk mengenai muzik ghazal dan ia merupakan pembentangan kali ke-2 bagi kumpulan kami. Bagi pembentangan kali ke-2 ini kumpulan kami telah membuat kajian lapangan mengenai muzik ghazal. Pemahaman saya mengenai muzik ghazal bertambah setelah kumpulan kami membuat kajian lapangan tersebut. Banyak input yang dapat saya kongsi bersama-sama rakan sekelas pada pembentangan kali ini. Rakan-rakan sekelas juga menunjukkan pemahaman yang lebih baik berbanding sebelumnya apabila mereka menunjukkan respons seperti bertanya soalan dan memberi komen-komen serta pendapat ketika pembentangan dijalankan.

Semasa sesi pembentangan masih berlangsung kelas kami menerima kejutan apabila menerima kehadiran pelajar-pelajar sekolah menengah Malim dari Melaka serta guru-guru pengiring dan mereka turut terlibat sama dalam sesi pembentangan. Banyak soalan yang ditanya oleh pelajar dan guru sekolah berkenaan mengenai muzik ghazal sehingga masa pembelajaran berkahir. Akhir kata saya begitu berpuas hati dengan pembentangan pada kali ini dan diharap rakan-rakan sekelas mendapat manfaat dengan apa yang telah dibentangkan oleh kumpulan kami mengenai muzik ghazal.
Sekian Terima Kasih.
Teruskan Membaca...

Saturday, October 2, 2010

Refleksi Minggu Ke-10

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....bagi refleksi minggu ke-10 ini saya akan membuat ulasan mengenai pembentangan muzik nobat dan orkestra cina daripada kelas hari rabu. Hal ini kerana saya dan seorang lagi rakan saya tidak hadir untuk kelas pada hari isnin. Pembentangan muzik nobat saya rasakan amat hebat, padat dan menarik daripada kumpulan pembentang.Pembentang berjaya membuatkan audiens memberi perhatian penuh mengenai muzik nobat. Banyak pengetahuan baru yang saya dapat mengenai muzik nobat dan paling saya terkejut ialah muzik nobat ini tidak boleh dipelajari oleh orang kebanyakkan. Maksudnya di sini hanya salur galur keturunan Raja sahaja yang boleh mempelajari dan bermain muzik nobat, menyentuh alat muzik nobat sekalipun dilarang oleh orang biasa. apa yang membuatkan muzik nobat ini istimewa ialah tidak semua negeri di Malaysia mempunyai muzik ini dan ia dijaga penuh dari segi permainan, alat muzik, lagu dan pantang larang. Jika muzik-muzik lain di malaysia mempunyai unsur penambahan dari segi lagu dan alat muzik namun ia berbeza dengan muzik nobat ini. Kumpulan pembentang berjaya memberi kupasan dan penerangan yang jelas mengenai muzik nobat ini. Syabas kepada kumpulan pembentang.

Orkestra Cina

Kumpulan kedua yang membentang ialah mengenai Muzik Orkestra Cina. Muzik orkestra cina amat berbeza daripada muzik nobat dari segi permainan. Hal ini kerana sesiapa sahaja boleh bermain muzik orkestra cina, dan ia tidak terhad kepada sesiapa sahaja. Dari segi alat muzik, alatan muzik orkestra cina sentiasa mempunyai penambahan dan ia melibatkan pemain yang ramai dalam satu-satu persembahan. Lagu-lagu dalam muzik orkestra cina juga boleh ditambah dan digubah mengikut peredaran zaman. hal ini adalah untuk menarik minat golongan muda mempelajari seni muzik ini. Majoriti pemain dalam muzik orkestra cina ini ialah kaum cina. Alat-alat muzik dalam muzik orkestra cina amat menarik dan ada satu alat muzik dalam muzik orkestra cina ini direka oleh anak tempatan. Hal ini menunjukkan bahawa muzik orkestra cina sentisa bergerak seiring dengan peredaran zaman. Kumpulan pembentang berjaya memberi kupasan yang jelas mengenai muzik ini dan muzik ini dikatakan lebih kepada aktiviti seharian manusia.
Sekian Terima kasih
Teruskan Membaca...

Saturday, September 25, 2010

Refleksi Minggu Ke-9

assalamualaikum dan salam sejahtera...
Pembentangan minggu ke-9 melibatkan kumpulan saya (Ghazal) dan kumpulan yang membentangkan tajuk Opera Cina. Kumpulan kami diwakili oleh tiga orang dan kami memfokuskan kepada muzik ghazal parti dan ghazal johor. Walaupun kumpulan kami masih belum membuat kajian lapangan mengenai muzik ghazal ini namun daripada maklumat yang diperolehi kumpulan kami memahami tentang muzik ghazal walaupun bukan menyeluruh. Apa yang pasti muzik ghazal di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu ghazal parti dan ghazal johor. Kedua-dua muzik ghazal ini mempunyai perbezaan dari segi persembahan dan lagu. Walaupun tidak banyak info yang dapat kami kongsi bersama rakan pada hari pembentangan tersebut namun saya berharap rakan-rakan sekelas dapat berkongsi apa yang telah kami bentangkan.

Kumpulan ke-2 Opera Cina

Kumpulan kedua membentangkan tajuk mengenai opera cina. Opera cina dikatakan berasal daripada Tanah Besar Cina. Muzik Opeara Cina sangat unik dari segi muzik dan gaya persembahan. walaupun tidak banyak input yang diperolehi mengenai tajuk opera cina yang dibentangkan oleh rakan-rakan pembentang namun saya yakin pembentangan kali ke-2 nanti banyak input yang akan disampaikan oleh pembentang.
Sekian terima kasih
Teruskan Membaca...

Saturday, August 28, 2010

Refleksi Minggu Ke-7

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....
Alhamdulilah kerana pada hari isnin yang lepas, dua kumpulan telah pun mempersembahkan hasil pembentangan masing-masing. Pembentangan kumpulan pertama mengenai Sejarah Muzik Tradisional telah mendedahkan saya kepada pelbagai input sejarah mengenai kedatangan muzik di nusantara dan Tanah Melayu khususnya. Muzik yang terdapat di negara kita pada hari ini banyak datangnya dari pelbagai negara luar seperti Barat, Arab, Cina, India, Indonesia dan kepulauan rantau Asia Tengaara. Malahan unsur-unsur muzik tersebut masih lagi dipengaruhi oleh negara asal tersebut seperti muzik wayang kulit yang masih mempunyai unsur tradisi India. Penjajahan Barat juga menyerap masuk budaya muzik mereka ke Tanah Melayu dan ia boleh dilihat sehingga kini.

Pembentangan kumpulan ini juga mendedahkan saya kepada penemuan alat muzik pertama. Walaupun terdapat beberapa teori dan kajian, namun dipercayai bahawa alatan muzik pertama yang dicipta oleh manusia ialah seruling. Ini menjelaskan bahawa manusia pada zaman awal juga telah mula meminati muzik.

Secara menyeluruh pembentangan kumpulan pertama ini berjaya menyelusuri sejarah muzik tradisional dan bagaimana ia tersebar ke Tanah Melayu sehingga muzik ini digunapakai oleh masyarakat kita sehingga hari ini.


Pembentangan ke-2, Zikir


Pembentangan kumpulan 2, mengenai zikir juga telah memberi pengalaman dan pendedahan baru kepada saya. Kumpulan ini berjaya memberi penerangan yang jelas, padat dan menarik mengenai zikir. Saya juga begitu teruja apabila melihat cara zikir dialunkan oleh sesetengah negara, seperti yang ditunjukkan oleh kumpulan pembentang cara zikir dialunkan di India. Sebelum ini saya mengetahui sedikit sebanyak mengenai zikir dan ia lazimnya dialunkan untuk majlis-majlis keagamaan. Alatan muzik yang digunakan juga tidak banyak.

Zikir dikatakan berasal daripada Timur Tengah. Zikir, walaupun dialunkan tanpa alatan muzik namun ia amat sedap didengar. Dengan penerangan yang padat selain Video yang ditunjukkan, objektif kumpulan 2 ini tercapai dalam menerangkan mengenai muzik zikir ini.

Kesimpulanya, kedua-dua kumpulan berjaya memberi penerangan yang jelas dan saya memahami sepenuhnya apa yang disampaikan oleh kumpulan-kumpulan pembentang.
Teruskan Membaca...

Friday, August 20, 2010

Refleksi Minggu Ke-6




Gambar Menunjukkan kompang.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....
Alhamdulilah kerana muzik tradisional telah masuk minggu ke-6 dan pembelajaran makyung serta kompang telah mendedahkan saya dengan dua lagi muzik tradisi yang ada di negara kita Malaysia. Makyung merupakan satu muzik dramatari yang terdiri daripada menora, mekmulung dan jikey. berbeza dengan wayang kulit, watak dalam makyung dimainkan oleh manusia atau orang manakala wayang kulit watak dimainkan oleh patung. Muzik makyung menceritakan mengenai kisah raja-raja dan ia dikatakan berasal dari Patani dan ia telah tersebar luas di Malaysia serta kepulauan Riau Lingga di Indonesia. Muzik makyung dipersembahkan sebagai persembahan dan juga untuk tujuan ritual. Pada zaman dahulu makyung dipersembahkan bertujuan untuk menyembuhkan penyakit melalui main puteri. Saya biasa melihat main puteri ini ketika di kampung, yang mana golongan tua lebih suka untuk Main Puteri bagi menyembuhkan penyakit berbanding ke hospital. Namun ada juga permainan makyung ini dilakukan untuk tujuan persembahan dan balai dibina beberapa kaki dari aras tanah manakala pemuzik dan pemain makyung akan duduk diatasnya secara berkeliling atau 'theater in the round'.Terdapat banyka kisah dalam penceritaan makyung dan cerita asal makyung adalah berkenaan dewa muda(cerita rakyat). Terdapat 11 buah cerita dan 30 buah lagu repertoire. Watak utama dalam penceritaan makyung ialah pakyung dan pakyung muda. watak-watak lain ialah makyung dan puteri makyung, peran tua dan peran muda serta tok wak. Terdapat 3 lagu dalam makyung iaitu mengadap rebab, kijang mas dan lagu sindung. Alat muzik dalam muzik makyung ialah sepasang gendang, sepasang tetawak dan sepasang rebab 3 tali, manakala alat muzik tambahan pula ialah serunai, geduk dan canai. Irama dalam muzik makyung menggunakan 4 timbre iaitu pak, duh, cak, ting. hampir semua lagu makyung bertempo agak perlahan.

Muzik kedua yang dipelajari pada minggu ke-6 ialah kompang. Pembelajaran kompang pada minggu tersebut amat menarik kerana saya dan rakan-rakan sekelas berpeluang untuk berkompang dengan tunjuk ajar En. Amran serta pelajar-pelajar major Muzik. Jika sebelum ini saya hanya menganggap kompang hanya dipersembahkan secara statik dan hanya untuk tujuan perkahwinan, namun dengan input yang saya terima daripada kuliah minggu ke-6 baru saya sedar bahawa muzik kampung boleh dipelbagikan gaya dan cara permainannya. Ini amat menarik sekali. Muzik kompang dikatakan berasal dari Arab dan ia dikenali sebagai dufuf, daff, duff, tar atau bendir. Manakala di Indonesia kompang digelar sebagai rebana atau terbang. Sejarah Kompang di Malaysia dikatakan dibawa oleh pedagang Arab pada kurun ke-13 masihi. Fungsi kompang dalam masyarakat Melayu ialah sebagai meraikan majlis perkahwinan, majlis keraian islam, Maulidulrasul dan berkhatan. Namun dengan peredaran zaman, penggunaan kompang telah dipelbagaikan seperti menyambut ketibaan pemimpim dan ia juga digunakan dalam majlis-majlis rasmi.

Dalam permainan kompang terdapat adat yang perlu dipatuhi seperti pakaian (mesti seragam), tidak boleh melentangkan kompang, tidak boleh melambung kompang dan tidak boleh meletakkan arah muka kulit kompang ke lantai. Kulit kompang diperbuat daripada kulit kambing betina manakala belulang baluh pula diperbuat daripada kayu nangka. Jenis-jenis permaianan muzik kompang adalah kompang hadrah yang terdapat di negeri Perak, kompang Johor atau Jawa, kompang Eizhar (negeri Selangor) dan kompang kelalang yang terdapat di negeri Melaka. Satu yang agak menarik ialah kompang boleh didapati mengikut saiz umur iaitu saiz 30cm untuk yang berumur 12 tahun dan ke bawah, 32.5cm bagi yang berumur 13 dan 14 tahun, 35 cm bagi yang berumur 15 dan 16 tahun, 37.5cm dan 40cm pula bagi orang dewasa. Terdapat teknik tetentu bagi bermain kompang iaitu kompang hendaklah dipegang dengan tangan sebelah kanan, manakala sebelah tangan lagi memukulnya. Bunyi kompang pada asanya ada dua iaitu bunyi pak dan bunyi bung, bunyi bung lebih besar daripada bunyi pak.

Setelah mempelajari kedua-dua muzik ini saya merasakan bahawa muzik tradisional seperti kompang jika digiatkan permainannya ia dapat mengelakkan masalah lepak dikalangan remaja iaitu dengan mengadakan kelas-kelas permainan kompang samaada di sekolah, kawasan penempatan atau mana-mana tempat yang sesuai. Hal ini kerana muzik kompang amat menarik dan fleksibel serta mudah dimainkan. Justeru bagi mengangkat muzik tradisional ini wajar kita sama-sama bersatu bagi mengekalkannya.
sekian terima kasih. Jumpa lagi. Wasalam.
Teruskan Membaca...
 

BLOG PELAJAR KUMP C

BLOG PELAJAR KUMP B

BLOG PELAJAR KUMP A

smp2252noor Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template