Saturday, August 14, 2010

Refleksi Minggu Ke-5

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....alhamdulilah kerana kuliah muzik tradisional telah sampai minggu ke-5 dan pembelajaran minggu ini iaitu Gamelan dan Cak lempong mendedahkan kepada saya satu lagi muzik tradisional yang saya tidak ketahui. Gamelan dan cak lempong amat asing bagi saya sebelum ini dan dengan ilmu yang diajar oleh En.Amran mengenai muzik gamelan ia sedikit sebanyak membuka minda saya mengenai muzik tradisional tersebut.

Seperti yang selalu ditekankan oleh En. Amran, jika kita tidak tahu asal usul muzik tersebut jangan mudah membuat andaian bahawa muzik tersebut milik kita. Seperti muzik-muzik tradisional lain, muzik gamelan dan cak lempong juga mempunyai sejarah asal usulnya yang tersendiri. Muzik gamelan dipercayai berasal dari Indonesia dan gamelan dimainkan secara berkumpulan. Antara alat muzik dalam gamelan ialah Gong dan ia merupakan antara alat muzik terawal dalam gamelan. Gong juga merupakan antara alat terpenting dalam awal tamadun Melayu yang digunakan bagi memulakan sesuatu upacara atau keraian.

Di Malaysia, muzik gamelan yang popular ialah gamelan Terengganu atau lebih dikenali sebagai joget gamelan. Muzik gamelan ini berpindah ke Terengganu kerana meraikan perkahwinan Sultan Sulaiman dari Terengganu dengan Tengku Mariam dari Pahang. Sejak dari itu muzik gamelan terus popular di Tanah Melayu dan ia berbeza dari segi penciptaan lagu, sistem tuning, instrumentasi dan melodi dengan gamelan Jawa. Gamelan Jawa berasal dari Jawa Tengah dan ia dibawa oleh orang-orang Jawa ketika penjajahan orang-orang Eropah. Muzik gamelan ini biasanya dimainkan ketika majlis berkhatan dan perkahwinan. Muzik gamelan jawa ini dimainkan oleh rakyat dan ia bukan terhad kepada muzik di istana semata-mata. Alat muzik dalam gamelan jawa lebih banyak dari muzik gamelan Terengganu dan ia mengandungi 9 alat iaitu gendang (ketipung, jiblon, bem), keromong atau bonang, demung, saron barung, saron penerus atau pekin, gambang, kenong, kempol dan gong. Terdapat sedikit perbezaan dari segi muzik antara muzik gamelan Terengganu dan muzik gamelan Jawa. Tekstur muzik gamelan ini berbentuk polifoni dan ciri utama muzik gamelan ini adalah dimana muziknya yang berulang. Hal ini saya dapat lihat dengan melihat persembahan muzik-muzik gamelan ini yang berulang-ulang.

Muzik kedua yang dipelajari pada minggu ke-5 ialah muzik cak lempong dan ia juga dikenali sebagai telempong dan tak lempong talempong. Di Malaysia muzik cak lempong terdapat didaerah Lenggeng, Kuala pilah dan Jelebu di negeri Sembilan. Muzik cak lempong ini dikatakan berasal dari Minangkabau dan penghijrahan orang-orang Minangkabau ini ke Tanah Melayu membawa bersama muzik cak lempong. Muzik cak lempong ini dipersembahkan ketika majlis perkahwinan dan majlis keramaian. Alat muzik dalam cak lempong ialah bonang,gereteh, tingkah, sauwa atau saua, gendang ibu dan anak, bangsi dan serunai.

Pembelajaran muzik minggu ke-5 menambahkan input saya mengenai muzik tradisional dan diharapkan muzik tradisional gamelan dan cak lempong terus mendapat tempat dihati pemuzik.
Teruskan Membaca...

Saturday, August 7, 2010

Refleksi Minggu Ke-4

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulilah kerana saya berkesempatan sekali lagi untuk mengikuti kelas muzik tradisional bagi minggu ke-4 dan tajuk yang telah disampaikan oleh En. Amran saya rasa amat dekat dengan negeri kelahiran saya Kelantan iaitu wayang kulit. Selain dikir barat yang begitu sinonim dengan rakyat kelantan, wayang kulit juga merupakan salah satu seni yang popular dan kerap dipersembahkan sebagai hiburan dikalangan rakyat di negeri Kelantan. Namun ikhlas saya katakan bahawa, walaupun saya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang, seni Wayang kulit ini amat jarang saya tonton dan sejarah perkembangan muzik ini juga saya tidak ketahui. Setelah mendengar kuliah yang disampaikan oleh en. Amran pada minggu ke-4 yang lalu, baru saya ketahui bahawa seni muzik wayang kulit ini bukan berasal dari kelantan dan ia merupakan seni muzik yang tersebar dari India menurut beberapa sarjana dan ada juga yang mengatakan ia dari Cina. Wayang Kulit digelar sebagai teater kerana ia mempunyai jalan cerita yang tertentu dan lazimnya orang yang mengemudi cerita digelar sebagai Tok dalang dan tok dalang ini mesti mahir dalam agama kerana dalam penceritaannya akan terselit unsur nasihat.

Sebelum ini saya merasakan muzik wayang kulit hanya ada di kelantan namun tanggapan saya meleset kerana muzik wayang kulit juga ada di jawa. Secara umumnya terdapat 4 muzik wayang kulit iaitu wayang kulit kelantan, wayang kulit jawa, wayang kulit gedek dan wayang kulit melayu. Dan itulah yang sering ditekankan oleh en. Amran dalam setiap kuliah beliau bahawa kita mesti mempelajari sejarah muzik tersebut sebelum kita menilainya sebagai hak kita kerana sejarah muzik tradisional di nusantara ini tersebar di merata tempat dan ia ada di mana-mana cuma mungkin berbeza sedikit dari segi alat muzik dan penyampaian. Daripada keempat-empat muzik wayang kulit tersebut ia mempunyai perbezaan diantara satu sama lain dari segi patung dan mungkin ada sedikit penambahan dari segi permainan alat muzik. Alat muzik di kelantan misalnya banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur dari Patani dan menggunakan bahasa atau dialek kelantan dalam penceritaanya.

Alat-alat muzik yang dimainkan dalam setiap wayang kulit juga berbeza. Jika wayang kulit jawa ia ada bunyi gemelan dan jika wayang kulit di Malaysia ia tiada. Begitu juga dengan patung, wayang kulit jawa mempunyai dua tangan yang bergerak manakala wayang kulit Di malaysia hanya datu tangan. Wayang Kulit gedek merupakan wayang kulit yang ada pengaruh daripada siam dan ia berbeza daripada wayang kulit kelantan. hal ini kerana patung wayang kulit tersebut mempunyai unsur siam dan dioalog yang digunakan juga merupakan loghat siam.

Kesimpulanya muzik wayang kulit juga berada di dalam kelasnya yang tersendiri dan ia antara muzik yang popular pada masa lalu dan amat rugi jika generasi kini akan datang tidak menghargai khazanah muzik warisan nenek moyang ini hanya kerana taksub kepada muzik barat. Justeru sama-samalah kita hargai muzik warisan kita.


Teruskan Membaca...

Saturday, July 31, 2010

Refleksi Minggu Ke-3



Assalamualaikum dan salam sejahtera, kuliah minggu ke-3 menambahkan lagi input saya terhadap muzik tradisional yang mana dalam kuliah tersebut saya telah mempelajari tentang alat-alat muzik juga mengalami penyesuaian (adaptional). Apa yang difahami oleh saya tentang adaptional ini ialah ia merupakan satu budaya muzik yang hidup dan keadaannya disesuaikan mengikut budaya setempat dari segi perhiasan, muzik, suara dan pembuatan. Manakala pemahaman saya tentang idiosyncratic ialah sesuatu alat muzik yang tidak mengalami perubahan dan ia berada dalam keadaan asal walaupun tersebar ke merata tempat. Contoh ialah muzik gambus. Gambar menunjukkan alat yang digunakan dalam muzik gambus.

Bagi budaya muzik China, India dan Barat, ia mempunyai sistem penyusunan alat muzik yang tersendiri. Bagi negara barat susunannya adalah seperti yang telah dipelajari dalam kuliah minggu ke-2 iaitu idiophone, membranophone, kordofon dan eorofon. Manakala klasifikasinya pula terbahagi kepada 3 iaitu perkusi, bertali dan tiupan.

Ciri-ciri utama dalam muzik tradisional Malaysia terbahagi kepada dua iaitu tradisi besar dan tradisi kecil. Apa yang difahami oleh saya mengenai muzik tradisi besar ialah muzik budaya istana yang tidak atau jarang mengalami perubahan. Maksudnya muzik ini tidak terdedah dengan segala unsur luar dan ia hanya dimainkan di istana sahaja. Tradisi kecil pula ialah muzik budaya rakyat yang dimainkan di kampung-kampung. Muzik ini boleh berubah dan ia boleh dipengaruhi oleh budaya luar. Secara umumnya terdapat 5 kategori muzik iaitu muzik rakyat, muzik klasik, muzik sinkretik dan muzik kontemporari.

Ciri utama muzik tradisional Malaysia pula dipengaruhi oleh karektor-kartektor seperti bentuk seni lakun utama, bentuk tarian utama, ensembel genderang, vokal dan instrumental solo, ensembel sosial popular dan ensembel lain. Justeru tidak hairanlah jika kita boleh melihat ciri-ciri yang disebutkan diatas dalam muzik tradisional di Malaysia. Saya amat berminat dengan muzik ensembel genderang yang mana muzik kategori ini mengiringi muzik bentuk tarian utama. Contohnya ialah seperti hadrah. Muzik hadrah ialah muzik yang asing bagi saya namun setelah mendengar ia buat kali pertama saya merasakan bahawa muzik ini amat menarik.

Kesimpulan yang saya perolehi sepanjang beada dalam kuliah minggu ke-3 dan mendengar penerangan yang disampaikan oleh En. Amran ialah muzik tradisional sememangnya muzik yang menarik dari segi cara persembahan, alatan muzik, lagu, tarian dan aksesori. Justeru amat merugikan jika muzik ini tidak diketengahkan khususnya kepada anak bangsa kita sendiri.

Sekian terima kasih.



Teruskan Membaca...

Refleksi Minggu Ke-2




Assalamualaikum dan salam sejahtera, bersyukur ke hadrat ilahi kerana saya berpeluang untuk mengikuti kelas Muzik Tradisional ini setelah menghadapi sedikit masalah untuk membuat blog. Terima kasih yang tidak terhingga kepada En. Amran kerana sudi meluangkan masa beliau mengajar saya dan rakan-rakan yang terlewat untuk membuat blog dan mengajar untuk kuliah minggu ke-2 pada hari jumaat yang lepas.

Kuliah untuk minggu ke-2 mendedahkan saya kepada soundscape, iaitu bunyi. Bagi saya ia merupakan saya pembelajaran yang menarik kerana selama ini saya hanya mendengar bunyi yang ada dipersekitaran tanpa cuba untuk mengamati bunyi tersebut. Contohnya dalam video yang ditunjukkan oleh En. Amran dalam kuliah minggu ke-2 ia mengajar saya untuk mengenali dan peka kepada bunyi yang dihasilkan. Bunyi yang dihasilkan dari hutan adalah yang paling tenang bagi saya kerana ia amat mendamaikan dan karektor bunyi yang dihasilkan juga adalah pelbagai dan ia seolah-olah satu kombinasi yang amat merdu. Contoh video diatas yang saya perolehi dari You Tube adalah bunyi yang dari hidupan hutan seperti burung, cengkerik, unggas dan lain-lain yang amat mendamaikan.

Pembelajaran mengenai budaya muzik juga mendedahkan kepada budaya muzik itu sendiri. Sesungguhnya muzik diturunkan dari satu generasi ke satu generasi dan boleh berbeza mengikut negara, negeri dan juga daerah. Dalam hal ini budaya amat memainkan peranan kerana ia akan mempengaruhi manusia dalam segala hal dan pembuatan. Hal ini juga memberi pengetahuan baru kepada saya bahawa muzik itu boleh dipengaruhi oleh budaya hidup. Satu lagi input baru yang saya perolehi dalam kuliah minggu ke-2 ini ialah hal berkaitan muzik. Sesuatu bunyi yang kita dengar jika disusun dan diolah mengikut nota-nota muzik barulah dipanggil sebagai muzik. Jika tidak ia hanyalah sekadar bunyi. Muzik juga bukan merupakan sesuatu yang universal tetapi jika seseorang itu ada ilmu berkaitan muzik barulah ia dianggap universal.

Saya juga mempelajari bagaimana asal usul muzik itu sehingga ia boleh sampai ke Malaysia. Selama ini saya beranggapan bahawa muzik yang ada di Malaysia hanya ada semata-mata di Malaysia namun dengan penerangan dan nota yang diberikan oleh En. Amran mendedahkan saya bahawa muzik yang berada di nusantara dan kepulauan Asia hampir sama dan ia bergerak melalui beberapa cara seperti perdagangan, perkahwinan dan juga penaklukan. Maka tidak hairanlah jika muzik yang ada di Malaysia ini sama dengan muzik yang ada di Indonesia dan juga Thailand. Namun kesan asimilasi dan budaya menyebabkan muzik itu berlaku penambahan atau pengurangan, tetapi isinya tetap sama.

Kuliah minggu ke-2 ini juga mendedahkan saya kepada jenis-jenis alatan muzik tradisional dan ia mempunyai 4 kategori utama iaitu Kordofon, membranofon, aerofon dan idiofon. Muzik jenis bertali berada dalam kategori kordofon iaitu seperti rebab, sape dan lain-lain. Manakala membranofon pula merupakan alatan muzik yang dihasilkan melalui kulit atau membrane yang ditegang dan dipalu seperti gendang. Eerofon pula merupakan alatan muzik yang bunyinya terhasil melalui udara seperti seruling dan serunai. Idiofon adalah alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui tindakbalas pada rangka badan yang bergema.

Seterusnya saya juga belajar perkara baru berkaitan melodi, ritma, harmoni, bentuk, notasi dan ekpresi. Melodi amat penting dalam sesebuah lagu dan kebanyakan lagu ada melodinya. Begitu juga dengan ritma, harmoni, bentuk notasi dan juga ekpresi. Pembelajaran dalam kelas muzik tradisional amat menarik dan memberi input baru kepada saya tentang hal berkaitan muzik tradisional. Tanggapan saya terhadap muzik tradisional adalah lapuk dan tidak menarik terhakis sama sekali sejak saya mula mengikuti kuliah ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada En. Amran kerana berjaya mengubah persepsi saya terhadap muzik tradisional ini.

Sekian Terima Kasih.


Teruskan Membaca...

Monday, July 19, 2010

Biodata


Nama: Norzakiah Bt Mohd Zain
No. Matrik: D2007231752
Program: Pengajian Malaysia Dengan Pendidikan (AT 58)
Kumpulan: A
Semester: 6
Subjek: SMP 2252 Muzik Tradisional Malaysia
Email: noordynn@gmail.com
Alamat blog: http://smp2252noor.blogspot.com/
Negeri Asal: Kelantan
Teruskan Membaca...
 

BLOG PELAJAR KUMP C

BLOG PELAJAR KUMP B

BLOG PELAJAR KUMP A

smp2252noor Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template